Artikel Terkini

10 Adab Ketika Bekerja yang Anda Perlu Tahu

10 Adab Ketika Bekerja yang Anda Perlu Tahu
10 Adab Ketika Bekerja yang Anda Perlu Tahu 1

Apakah adab ketika bekerja? Artikel pada kali ini kami ingin berkongsi kepada anda tentang adab ketika bekerja yang boleh diikuti dan contohi.

Pengenalan

Tuntutan bekerja dalam Islam adalah salah satu ibadah yang sangat mulia. Tidak kiralah ia kerja yang mendapat imbalan gaji atau tidak, masing-masing mempunyai persamaan sebagai satu jihad yang ada sisi pahala besar dari Allah SWT.

Bahkan, agama Islam sendiri amat menggalakkan manusia untuk bekerja dan mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidupnya dengan rezeki yang halal. Sedar atau tidak, bekerja juga salah satu dari banyaknya sunnah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW ada bersabda:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” – (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Adab ketika bekerja

Ini adalah contoh adab-adab bekerja yang boleh anda amalkan. Antaranya seperti:

1. Membaca doa sebelum keluar rumah

بِسْمِ اللَّهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Bismillaahi tawakkaltu ‘alallaah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah

Ertinya: “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.” (HR.Abu Dawud, (4/325), no. 5094).

Doa keluar rumah ini bukan sahaja dibaca bagi tujuan keselamatan dan perlindungan semasa keluar dari rumah, tetapi ia juga dapat membantu kita dipermudahkan urusan sehingga sampai pada tempat tujuan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang keluar daripada rumahnya lalu membaca (zikir) ‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwata illa billah’ yang bermaksud, ‘Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Nya dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Nya,” maka, malaikat akan berkata kepadanya…’ Sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah) dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (daripada semua keburukan)…sehingga syaitan-syaitan tidak akan menghampiri dan syaitan-syaitan itu berkata kepada syaitan-syaitan lain, ‘Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan diberi perlindungan oleh Allah SWT?’”– (Hadis Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Jelas, begitu besar kelebihan mereka yang melazimi membaca doa sebelum keluar rumah lalu menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

2. Niat kerana Allah SWT

Jika kita perasan, setiap ibadah sama ada wajib atau sunat sentiasa di dahulukan dengan niat dan lafaznya akan menjuruskan kepada kalimah “kerana Allah Ta’ala”. Tanpa niat yang ikhlas hanya kerana Allah SWT, kemungkinan ibadah kita tidak dikira oleh Nya. Oleh itu, salah satu adab ketika bekerja adalah perlunya kita sentiasa perbetulkan niat kita ketika buat kerja hanyalah untuk Allah SWT.

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa dituju sahaja.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan bekerja, konsepnya sama. Setiap kali kita memulakan sesuatu pekerjaan, jangan lupa mendahulukan dengan niat. Selain manfaatnya dari segi rohani, kita juga boleh membina misi dan visi yang terang kepada apa pencapaian yang mahu dicapai dalam jangka masa pendek dan panjang sesuatu pekerjaan.

3. Menjaga aurat sepanjang bekerja

Menutup aurat dengan sempurna bukan pilihan tetapi syariat Islam yang mewajibkan perintah itu dituruti. Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang ditentukan oleh syarak. 

Hal ini termasuklah ketika bekerja. Dijelaskan oleh Ba Fadhl al-Harami bermaksud:

“Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut.” – (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76)

Ada juga kes yang berlaku pada wanita Muslim, apabila mereka di minta oleh majikan untuk membuka tudung kerana etika dari kerja yang dilakukannya. Adakah sebagai seorang pekerja kita wajib turuti?

Sebagai seorang pekerja Muslim, apabila sesuatu perkara itu sudah menyentuh kepada syariat-syariat agama, maka kita perlu dahulukan kepada agama berbanding yang lain. Hal ini kerana, sekiranya wanita Muslim itu menuruti arahan majikannya maka ia sudah bercanggah dengan suruhan agama iaitu perintah dari Allah SWT.

4. Menjaga dan menepati masa

Setiap orang memiliki 24 jam dalam sehari. Bagaimana kita membentuk kualiti sesuatu masa itu bergantung 100% kepada bagaimana kita menggunakannya. Masa yang berkualiti bukanlah bermakna kita perlu fokus 24 jam kepada bekerja sahaja. Tetapi susunlah ia meliputi semua perkara yang boleh membentuk peribadi diri menjadi lebih baik dan berguna.

Ia termasuklah masa untuk tidur, bekerja, beriadah, berseronok, beribadah, dan sebagainya. Pentingnya menjaga masa sehingga ia diibaratkan seperti seketul emas. Bahkan, masa yang sudah berlalu tidak mungkin akan kembali lagi untuk kita mengulanginya semula.

5. Tidak meniggalkan ibadah-ibadah wajib ketika bekerja seperti solat dan puasa

Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak menutup kemiskinanmu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Tinggi mana jawatan kita, atau sesibuk mana pun tanggungjawab dan amanah itu, kewajipan yang sudah disyariatkan ke atas diri ini mesti dilakukan mengikut masa dan tempohnya. Ini termasuk juga kepada tuntutan menunaikan solat 5 waktu setiap hari.

6. Bertanggungjawab dan jujur

Sifat bertanggungjawab tidak akan mampu berdiri sendiri tanpa kejujuran. Begitu juga sebaliknya.

Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Wajib ke atasmu jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur.” – (Hadis Riwayat Tirmizi)

Bukan sahaja orang lain atau majikan suka kepada pekerja yang jujur dan bertanggungjawab, malah Allah SWT turut menyukainya.

7. Tidak melakukan pekerjaan yang syubhah atau haram

Ekonomi negara pada hari ini menunjukkan perubahan yang ketara kepada masyarakat. Nilai mata wang semakin rendah, barang yang dijual di pasaran semakin tinggi, namun gaji tetap sama tidak bertambah.

Pasti ramai yang akan terkesan dengan perkara ini lebih-lebih lagi kita baru sahaja keluar sedikit dari kemelut Covid-19 yang mencengkam sumber pendapatan keluarga. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh menjadi alasan untuk kita mencari pekerjaan yang haram atau syubhah seperti menjual arak, dan melakukan kerja yang mempunyai unsur-unsur keraguaan.

Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan antara keduanya adalah syuhbat; banyak orang tidak mengetahui apakah perkara halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jauhi perkara-perkara yang syubhah kerana dikhuatiri sumber pendapatan kita juga bercampur dengan hasil yang tidak halal.

8. Sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan

Allah memberikan rezeki bukan mengikut apa yang kita mahu, tetapi Dia memberikan rezeki mengikut apa keperluan kita saat itu. Jadi bersyukurlah dengan segala rezeki yang diberikan, kerana dengan sifat syukur itu akan diberikan lagi nikmat yang lebih banyak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

9. Tidak lupa untuk bersedekah

Ramai orang bila ada duit takut untuk bersedekah dengan alasan, “Saya belum kaya”. Petua orang kaya yang dermawan katanya, “Sedekahlah kamu sehingga kamu menjadi kaya”. Maksudnya di sini apa?

Maksudnya kita bersedekah jangan ditunggu apabila kaya sahaja. Kerana sedekah akan menambahkan lagi rezeki kita untuk menjadi lebih melimpah-ruah.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambah dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya.” – (Hadis Riwayat Muslim).

10. Bertawakal kepada Allah SWT

Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.”  (Hadis Riyata Tirmizi)

Usaha, berdoa, dan bertawakal adalah konsep kejayaan bagi setiap insan. Ketiga-tiganya berjalan seiring untuk mewujudkan kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT, dan dipandang di mata masyarakat.

Kesimpulan

Diharapkan artikel berkenaan dengan adab-adab ketika bekerja ini dapat memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat untuk meningkatkan lagi semangat dan motivasi semasa bekerja.

Rujukan

  1. Bayan Linnas Siri Ke-193: Bekerja Sebagai Ibadah Meningkatkan Sikap Intergriti. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. 400 Adab Menjadi Pekerja Yang Disayangi Bos, Misi Masuk Syurga. PTS Publishing House
  3. Agama: 3 Elemen Pekerja Terbaik. Berita Harian (11 September, 2014).

10 Adab Ketika Bekerja yang Anda Perlu Tahu 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Back to list