Artikel Terkini

Hikayat Para Pemuda Perancis Menyertai Nazi Menakluk Moscow

Hikayat Para Pemuda Perancis Menyertai Nazi Menakluk Moscow
Hikayat Para Pemuda Perancis Menyertai Nazi Menakluk Moscow 1

Melututnya Perancis Di Kaki Jerman

Setelah Perancis berjaya direbahkan oleh Jerman sekitar tahun 1940, maruah ‘Republik Ketiga’ itu telah dirobek dengan angkuh oleh pemangsanya yang berpusat di Berlin. Wilayah Perancis kini telah dibelah kepada dua untuk ditadbir dan dikawal selia oleh dua buah rejim autoritarian yang berbeza. Tidak dinafikan bahawa kejatuhan Perancis juga secara langsung telah melunaskan dendam kesumat lelaki bermisai kontot yang bertanggungjawab ke atas penaklukan Perancis itu.

Bahagian Utara yang terkulai lumpuh dek amukan Blitzkrieg telah diletakkan di bawah jajahan Jerman (zone occupée). Manakala di bahagian Selatan pula, sebuah negara boneka pimpinan veteran Perang Dunia Pertama, Phillipe Petain, telah didirikan, wilayah ini secara amnya mahsyur dengan gelaran Régime de Vichy susulan lokasi pusat pentadbirannya yang terletak di Kota Vichy. Sesungguhnya, menakluki wilayah barat Eropah sahaja tidak mampu menenangkan nafsu Jerman yang kian menggila pada ketika itu.

Agenda Lebensraum yang termaktub pada halaman ‘kitab suci’ (Mein Kampf) anutan kaum Fasis Jerman jelas sekali adalah sebuah manifestasi gila yang diilhamkan oleh diktator bermisai kontot yang memimpin Jerman pada ketika itu. Dipandu dengan segunung harapan dan keyakinan, Jerman dengan lantas nekad menyasarkan Russia pula selepas Eropah Barat. Maka dengan itu, beraraklah kira-kira 3 juta angkatan perang Paksi menuju ke Kota Moscow menerusi Operasi Barbarossa.

Operasi pencerobohan ke atas wilayah Kesatuan Soviet itu secara rasminya dilancarkan pada tanggal 22 Jun tahun 1941. Tujuannya tidak lain tidak bukan, sebagai persediaan untuk menyediakan Lebensraum (ruang kehidupan) buat generasi ‘bangsa suci Aryan’. Tidak dilupakan, operasi ini juga menyaksikan pertempuran ideologi antara fahaman Fasisme dengan fahaman Komunisme. Angkatan Fasis melalui pemimpinnya telah berikrar untuk melenyapkan ancaman komunisme dari Russia bahkan seluruh dunia.

Dalam pada itu, Perancis yang kini terbelah, telah dijadikan sarang yang mengumpulkan parti-parti politik fasis di Paris yang sudah sekian lama mengimpikan sebuah kerjasama dengan parti Fasis Jerman. Nama-nama seperti Rassemblement national populaire, Parti populaire français, Mouvement social révolutionnaire dan Ligue française adalah antara parti fasis utama yang tidak asing lagi di pentas politik Perancis sejak dekad1930-an. Walaupun berkongsi ideologi perjuangan serta semangat kebencian yang serupa; anti-semitisme, anti-republikan dan anti-komunisme.

Namun parti-parti ini saling bertikam lidah merebut kemasyhuran dan berlumba membuktikan kemampuan masing-masing untuk bertanding posisi sebagai parti Fasis utama yang akan mentadbir Perancis sekiranya Jerman memenangi Perang Dunia Kedua kelak. Bagaikan bulan jatuh ke riba, pengkhianatan mengejut Jerman ke atas Kesatuan Soviet itu telah dijadikan asbab hakiki bagi parti-parti Fasis di Paris untuk bersatu meninggalkan perbalahan lampau demi mencapai agenda utama iaitu berkhidmat untuk Jerman lantas mempamerkan kesetiaan mereka kepada negara fasis itu. Selain itu, serangan Jerman di medan Timur juga direbut sebagai peluang untuk parti-parti Fasis ini memaksimakan penonjolan sikap pro-Jerman mereka. Maka mulai saat itu, suara-suara cadangan untuk menubuhkan angkatan tentera sukarelawan Perancis mula berputik.

Bersedia Berkhidmat Untuk ‘Tuan Besar’

Owen Anthony Davey menerusi jurnal kajiannya, The Origins of the Legion des Volontaires Francais contre le Bolchevisme (1971), menegaskan bahawa asal usul idea untuk menubuhkan sebuah angkatan tentera sukarelawan Perancis yang akan membantu Jerman dalam kempen penaklukan Kesatuan Soviet adalah samar dan hampir tidak diketahui dari mana datangnya buah fikiran tersebut. Namun begitu terdapat beberapa andaian yang dapat disandarkan bagi menjawab persoalan ini, antaranya, ada yang mendakwa bahawa idea tersebut merupakan hasil ciptaan Jerman itu sendiri.

Namun begitu, pendapat paling popular mengatakan bahawa idea untuk menubuhkan sebuah angkatan tentera sukarelawan adalah inisiatif yang diusulkan oleh para pemimpin parti Fasis di Paris ketika mereka mengadakan pertemuan di Hotel Majestic. Ringkasnya, para pemimpin parti Fasis telah bertemu dengan Marshall Petain dan wakil kerajaan Jerman di Perancis bagi merealisasikan cadangan tersebut. Seterusnya, Otto Abetz telah diwakilkan oleh parti-parti fasis untuk menyampaikan hasrat mereka untuk membantu Jerman di bumi Russia.

Tidak lama selepas itu, setelah mendapat lampu hijau dari kepimpinan tertinggi Jerman menerusi ‘perkenan’ lelaki bermisai kontot di Berlin, maka pada tanggal 5 Julai 1941, lahirlah angkatan ‘Légion des volontaires français contre le bolchévisme’ yang secara harfiahnya membawa maksud ‘Legion Sukarelawan Perancis Menentang Bolshevisme’. Perkataan ‘bolchévisme’ yang tertera pada nama angkatan ini jelas merujuk kepada kerajaan komunis di Moscow yang sudah tentu merupakan objektif utama penubuhan LVF.

Sepanjang artikel ini, penulis akan menggunakan singkatan LVF bagi merujuk kepada angkatan tentera sukarelawan itu. Pengoperasian dan pergerakan LVF akan diselia oleh sebuah sebuah Majlis Pusat (Comité central) pimpinan seorang presiden yang dipilih. Eugène Deloncle secara rasminya dilantik sebagai presiden untuk mengetuai majlis ini. Namun begitu, kuasa sebenar bukanlah tertakluk pada tangan sang presiden, sebaliknya ia dipegang oleh seorang setiausaha agung yang bertanggungjawab mengatur segala gerak kerja propaganda dan kempen perekrutan anggota.

Antara poster propaganda LVF.

Berita penubuhan LVF telah disebarluaskan ke suluruh Perancis melalui sepucuk proklamasi yang diedarkan melalui akhbar tempatan (Le Cri du Peuple) bertarikh 8 Julai 1941: “Dengan persetujuan Marsyal petain, (serta) persetujuan sang Fuhrer, yang menandatangani dengan sepenuh persetujuan, telah memutuskan agar (LVF)  mengambil bahagian dalam perang salib menentang bolshevisme.”

Keesokan harinya, beberapa organisasi berhaluan kanan antaranya Front franc dan Mouvement franciste telah sebulat suara menyatakan hasrat serta sokongan mereka untuk menjayakan penubuhan angkatan LVF. Kerajaan Vichy juga ada mengeluarkan kenyataan rasmi melalui akhbar, mengisytiharkan bahawa tiada halangan untuk rakyat Perancis yang ingin menyertai ‘perjuangan salib’ bagi mempertahankan tamadun Eropah menentang komunisme di Russia.

Salah sebuah pusat perektutan anggota LVF di Perancis. (Kredit Foto: Peter Gostzony)

Kempen perekrutan mula dilaksanakan di sekitar Paris pada 8 Julai sebelum ia dirancakkan ke serata Perancis. Menurut sumber, jumlah pusat perekrutan yang dibuka adalah sebanyak 137 buah di seluruh Perancis. Dalam usaha menarik minat anak-anak Perancis untuk menyertai angkatan ini, mesin propaganda (Propagandakompanie) telah menukang sebuah naratif dengan menyajikan gambaran bahawa Perancis telah diamanahkan untuk berjuang mempertahankan peradaban Kristian daripada ancaman Bolshevisme dari timur (Kesatuan Soviet).

Inilah sebab mengapa akhbar tadi melaporkan bahawa perang menentang Russia ini sebagai Perang Salib. Naratif Perang Salib ini ternyata berjaya mempengaruhi dan memenangi sokongan masyarakat Perancis khusunya dari golongan konservatif Katolik. Selain itu, naratif keagungan era Maharaja Napoleon turut didendangkan, badan propaganda LVF tanpa segan silu mendakwa LVF adalah jelmaan baharu badan ketenteraan di zaman Maharaja Napoleon iaitu La Grande Armée.

Menerusi gambaran yang disajikan melalui buku ‘Joining Hitler’s Crusade’ (2017) suntingan David Stahel: “Angkatan LVF telah dipersembahkan sebagai ‘pembela Eropah’ dan agama Kristian, sebagai ‘Tentara Salib baru’, manakala angkatan itu sendiri digambarkan sebagai pewaris kepada angkatan Napoleon.” Propaganda disebarkan melalui corong-corong radio, pelekat setem, filem pendek dan pelbagai lagi kaedah lain.

Antara syarat-syarat yang diwajibkan untuk menyertai LVF adalah:

1) Berumur antara 18 hingga 40 tahun, minima 50 tahun ke atas bagi individu yang ingin memohon jawatan pegawai.

2) Bernasabkan ‘Aryan’ Perancis.

3) Sihat tubuh badan.

4) Tiada sebarang rekod jenayah.

5) Berketinggian sekurang-kurangnya 160 cm

Mengikut perancangan awal, rekrut yang terpilih untuk menganggotai LVF akan mengenakan uniform tentera Perancis untuk bertempur, namun begitu rancangan ini tidak kesampaian apabila kepimpinan tertinggi Jerman menegaskan bahawa anggota LVF akan bertempur dengan seragam Jerman (German Feldgrau) serta kelengkapan senjata yang dibekalkan oleh Jerman.

Perkara ini kemudiannya telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dikalangan pemimpin parti-parti fasis di Paris, mana tidaknya, bagi mereka tuntutan Jerman yang menyuruh orang Perancis untuk berseragam Jerman itu dilihat telah mencalar maruah orang Perancis. Namun begitu, bukan semua orang Perancis berkongsi pandangan yang sama, hal ini kerana terdapat segelintir anggota LVF (fanatik Jerman) mengakui bahawa mereka berasa bangga dan megah kerana diberi peluang untuk menyarung seragam tentera Fasis Jerman.

Di pihak kerajaan Vichy pula, mereka seolah-olah tidak merestui keberangkatan anak-anak Perancis menyertai LVF untuk bertempur bersama Jerman berjuang menakluk Moscow. Perkara ini dibuktikan melalui laporan yang dikeluarkan oleh pihak Jerman yang mendakwa pihak berkuasa Perancis di Vichy telah dilaporkan menghalang proses perekrutan anggota di sesetengah kawasan di Perancis.

Selain itu, kerajaan boneka di Vichy juga dikatakan tidak menyokong sebarang operasi kempen bagi menjayakan program perekrutan LVF. Harus diketahui bahawa LVF adalah sebuah badan ketenteraan swasta (private army) yang tiada kaitan dengan kerajaan Perancis di Vichy, sebaliknya LVF diselia oleh sebuah majlis yang dianggotai oleh kepimpinan tertinggi parti-parti fasis Perancis yang berpusat di Paris. Maka dengan itu, tidak hairanlah mengapa kerajaan Vichy bertindak sedemikian rupa.

Pada awalnya, kempen perekrutan dilihat berjaya membuahkan hasil. Kejayaan ini diukur berdasarkan bilangan individu yang membuat permohonan untuk menyertai angkatan tentera sukarelawan tersebut, menurut sumber, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 13,400 permohonan. Namun begitu, setelah proses saringan dijalankan, LVF terpaksa menolak permohonan kira-kira 7,600 individu berikutan kegagalan para pemohon untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Menariknya, tujuh puluh peratus permohonan yang ditolak hanyalah gara-gara mempunyai kesihatan gigi yang teruk!

Hasilnya, jumlah bilangan akhir yang membentuk angkatan LVF hanyalah sekadar mencapai bilangan antara 3000 orang hingga 5,800 orang, ternyata ia adalah bilangan yang tidak memberansangkan. Disebabkan itu, terdapat sebuah usul yang dicadangkan oleh sesetengah kepimpinan LVF untuk merekrut 2 juta tahanan perang Perancis yang sedang dipenjarakan di Jerman untuk diintegrasikan bersama angkatan LVF sedia ada, namun begitu hasrat ini tidak kesampaian untuk dijelmakan. Kebencian lelaki bermisai kontot terhadap orang Perancis lebih diutamakan dalam hal ini. Namun begitu, perarakan anggota LVF yang diadakan di Versailles pada 27 Ogos tahun 1941 adalah manifestasi kejayaan pembentukan angkatan tentera sukarelawan itu meskipun mempunyai bilangan anggota yang kecil.

Pada November tahun 1941, LVF secara rasminya menerima penjenamaan semula sebagai Rejimen Infantri ke-638 dan telah diserap ke dalam Divisyen Infantri Bavaria ke-7 dan kor ke-8 tentera Jerman. Disebabkan anggota-anggota LVF terdiri daripada individu yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Ada yang baru berumur 18 malah ada yang langsung tidak pandai bermain senjata.

Oleh itu, kepimpinan LVF telah berkeputusan untuk membahagikan anggotanya kepada empat kumpulan berdasarkan pengalaman ketenteraan yang dimiliki setiap anggota. Majoriti bilangan anggota LVF secara puratanya terdiri daripada para pemuda yang berumur 24 tahun. Dalam pada itu, masalah lain yang ditimpa oleh LVF adalah masalah disiplin para anggotanya.

Ada yang berkeras enggan memakai seragam Jerman. Malah menurut hasil tinjauan, dikatakan kebanyakan individu yang menyertai LVF bukanlah benar-benar ingin berperang pun. Ada yang sebelum ini menganggur dan melihat LVF sebagai tempat untuk mencari makan. Ada juga golongan ‘pengembara’ yang menyertai LVF semata-mata untuk mengembara luar daripada Perancis. Owen Anthony berpendapat bahawa masalah adalah impak daripada sistem perekrutan yang kurang menitikberatkan soal kualiti para pemohon: “Ini menunjukkan bahawa para perekrut lebih berminat dalam bilangan berbanding kualiti”.

Ahli sejarah Russia, Oleg Beyda menukilkan menerusi artikelnya ‘‘La Grande Armeé in Field Gray’: The Legion of French Volunteers Against Bolshevism, 1941‘ (2016), berkenaan dengan keadaan anggota LVF: “Latihan ketenteraan yang diterima oleh anggota adalah tidak berkualiti; mereka tidak diberikan perhatian yang secukupnya, dan mereka juga diagihkan dengan senjata yang berkualiti rendah. Sebahagian besar daripada mereka bahkan sebenarnya tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai tentera. Bekalan makanan tidak mencukupi dan kualiti tidak memuaskan. Oleh kerana kekurangan kemudahan, tahap kebersihan (para anggota) amatlah teruk, dan kutu mula muncul semasa tentera berada di kem.”

Perjuangan Yang Mengecewakan

Upacara perbarisan anggota LVF di Demba pada 5 Oktober 1941.

‘Angkatan salib Perancis’ mula mara menuju barisan hadapan Jerman melalui pengangkutan kereta api pada 4-5 September. Sebelum bertempur, mereka terlebih dahulu singgah ke kem latihan di Poland pada 8 Oktober 1941 bagi menjalankan latihan dan persiapan yang diselia oleh Kapten Romanovsky.

Sepanjang bulan Oktober, LVF menerima latihan asas ketenteraan sebelum disahkan bersedia untuk bertempur di barisan hadapan. Angkatan LVF selesai menjalani sesi latihan pada 25 Oktober 1941. Seterusnya, angkatan LVF yang berkekuatan dua batalion (2,271 anggota) telah berarak ke Moscow menerusi kereta api menuju ke Smolensk. Bersama LVF terpasaknya semangat perjuangan Napoleon untuk sekali lagi menawan Moscow. Angkatan LVF pada waktu ini telah diamanahkan ke atas Kolonel Henri Labonne, seorang lelaki berumur 60 tahun yang tidak berpengalaman dalam dunia pertempuran. Kolonel Henri Labonne dengan gahnya berkata kepada seorang wakil kerajaan Vichy: “angkatan LVF akan mengisi halaman baru dalam buku emas keemasan tentera Perancis yang perkasa“.

Pertempuran pertama yang melibatkan LVF berlaku berhampiran dengan perkampungan di Vygliadovka pada 1 Disember 1941. LVF mula mengatur serangan dengan melancarkan asakan ke atas tentera merah menrusi batallion pertama. Pada awalnya pertempuran dilihat berpihak kepada LVF namun dalam beberapa hari kemudian mereka mula menerima amukan serangan balas Soviet. Tentera Jerman yang memerhatikan tindakan tentera LVF berkata: “Batalion I menyerang melintasi padang terbuka. Serangan oleh Perancis itu benar-benar adalah tindakan yang berani! malangnya ia juga benar-benar sebuah tindakan yang bodoh”.

Impaknya, LVF mengalami kekalahan serta kehilangan bilangan anggotanya pada kadar yang agak teruk. Dikatakan hampir keseluruhan anggota dari batallion ke-2 telah terbunuh sepanjang bertempur dengan tentera Merah Soviet. Tidak dinafikan ada juga anggota yang melarikan diri dari pertempuran serta ditawan oleh tentera Soviet. Keadaan diparahkan lagi dengan cuaca musim sejuk yang menyukarkan pergerakan LVF, ditambah pula dengan ancaman Frostbite yang mengancam nyama anggotanya. Kekurangan bekalan makanan serta tempoh rehat yang tidak cukup juga membantutkan lagi keupayaan LVF. Cuaca beku bukan sahaja mengancam nyawa annggota LVF sahaja bahkan ia juga menyebakan senjata tidak berfungsi dan sering mengalami kerosakan.

Bagi memperkukuhkan kembali bilangan anggota LVF, penambahan bilangan anggota yang berkekuatan seramai 1,400 anggota telah dihantar ke barisan hadapan pada bulan Disember tahun yang sama. Ironinya, terdapat sebilangan daripada rekrut baharu ini bukannya datang dari darah ‘Aryan’ Perancis, sebaliknya mereka adalah sekumpulan pemuda berkulit hitam yang diimport daripada Afrika Utara. Anggota LVF tambahan ini kemudiannya membentuk batalion ke-3 dibawah kelolaan Major Demessine. Setelah mempamerkan keupayaan yang memalukan setelah dibelasah teruk oleh tentera Merah, kepimpinan tertinggi Jerman pada 8 Disember telah sebulat suara untuk menarik keluar LVF daripada pertempuran di barisan hadapan untuk digantikan dengan Rejimen Jerman ke-19. Kedua-dua batalion itu kemudiannya digabungkan dengan Divisi Keselamatan ke-186 di bawah aturan Kolonel Edgar Puaud. LVF telah diberikan amanah untuk bertugas menjayakan operasi Bandenbekämpfung di kawasan sekitar Smolensk. Bandenbekämpfung adalah terma yang digunakan bagi merujuk kepada operasi yang dilaksanakan oleh Jerman dengan tujuan untuk membendung dan melumatkan sebarang bentuk pemberontakan yang berlaku di wilayah tawanan Jerman.

Edgar Puaud

Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, angkatan LVF mempunyai tahap disiplin yang agak teruk. Hal ini dapat disaksikan sepanjang kempen ketenteraan yang melibatkan anggota sukarelawan itu, mereka diperkatakan tiada bezanya dengan rakan Jerman mereka. Membakar perkampungan, merompak harta, mencabul maruah kaum wanita, membvnvuh tawanan perang dan orang awam antara perilaku keji yang dilakukan oleh LVF sepanjang kempen ketenteraan mereka.

Operasi Overlord Dan Bagration Menutup Bicara

Pada Jun 1944, Tentera Berikat telah melancarkan sebuah operasi yang secara langsung telah menukarkan haluan perang yang sebelum ini berpihak kepada Jerman kepada pasukan Berikat. Operasi Overlord, itulah frasa kod kepada sebuah operasi yang bakal mengubah takdir dunia, malah juga sebagai penentu kepada masa depan angkatan LVF. Kemaraan tentera bersekutu di wilayah barat telah membawa kepada kemerdekaan Perancis manakala kebangkitan tentera merah dari Timur mengasak keluar Jerman dari bumi Russia.

Menerusi Operasi Bagration (Operatsiya Bagration) tentera merah telah berjaya memerdekakan wilayah Minsk serta memusnahkan Army group Centre (Heeresgruppe Mitte) terutamanya di wilayah Byelorussia. Impak daripada operasi yang dilancarkan Soviet pada Jun 1944 itu telah memaksa angkatan LVF untuk bergabung dengan saki baki tentera Jerman yang terselamat lantas membentuk formasi ofensif (Kampfgruppe). Bersama kelengkapan kereta kebal (Tiger I), angkatan LVF dan Jerman berusaha memecahkan kemaraan dan amukan divisi kereta kebal Tentera Merah yang semakin maju ke dalam wilayah tentera Jerman.

Menurut sumber, walaupun angkatan LVF pada waktu itu mempunyai bilangan anggota yang kecil iaitu sekitar 400 orang anggota, namun begitu mereka tetap berjaya bertahan lantas memperlahankan asakan tentera merah yang jauh lebih kuat dengan bilangan anggota mereka yang cukup besar. Menariknya, dikatakan 40 kereta kebal Soviet berjaya diranapkan oleh LVF! Walaubagaimanapun, LVF telah dibubarkan secara rasminya lalu saki baki anggotanya diserap masuk menyertai Waffen SS. Perjuangan orang Perancis di pihak Jerman berterusan sehingga kejatuhan Berlin di tangan tentera Bersekutu.

Walaupun objektif asal penubuhan LVF adalah sebagai platform buat para pemuda Perancis untuk berjuang mewakili negara Perancis, namun realitinya, LVF hanyalah sekadar sebahagian daripada angkatan tentera Jerman (Wermacht). Kempen yang mereka sertai di Russia ternyata adalah sebuah kegagalan, cita-cita bangsa Perancis untuk menawan Moscow kembali terkubur bersama roh Maharaja Napoleon. Di pengakhirannya, jauh sekali dijulang sebagai wira, LVF hanyalah dikenang sebagai sebuah rejimen tentera Jerman biasa yang berbahasa Perancis. Demikianlah hikayat para pemuda Perancis menyertai Jerman menakluk Moscow.

RUJUKAN:

Davey, O. A. (1971). The Origins of the Legion des Volontaires Francais contre le Bolchevisme. Journal of Contemporary History, 6(4), 29–45. http://www.jstor.org/stable/259685

Littlejohn, David (1972). The Patriotic Traitors: A History of Collaboration in German-Occupied Europe, 1940-45. London: Heinemann.

Beyda, Oleg (2016). “‘La Grande Armeé in Field Gray’: The Legion of French Volunteers Against Bolshevism, 1941”. Journal of Slavic Military Studies. 29 (3): 500–18.

Müller, Rolf-Dieter (2014). The Unknown Eastern Front: The Wehrmacht and Hitler’s Foreign Soldiers. London: I.B. Tauris.

Stahel, D. (2018). Joining Hitler’s crusade: European nations and the invasion of the Soviet Union, 1941. Cambridge University Press.

Hikayat Para Pemuda Perancis Menyertai Nazi Menakluk Moscow 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Back to list