Artikel Terkini

Isteri Solehah Dalam After Love

Isteri Solehah Dalam After Love
Isteri Solehah Dalam After Love 1

BOLEHKAH kita membayangkan bagaimana seorang isteri berbangsa Inggeris yang menganut agama Islam boleh kekal solehah setelah kematian suaminya, yang kemudian apabila dijejaki punya identiti dan rahsia lain iaitu bersekedudukan dengan seorang perempuan Perancis sehingga beroleh seorang anak lelaki remaja yang orientasi seksualnya meragukan.

Sebaik sahaja senarai calon akhir anugerah BAFTA diumumkan baru-baru ini, ternyata ada banyak filem British yang bagus perlu diperhatikan, ya tanpa perlu pun kita memberi perhatian terlalu banyak kepada produk studio dan streaming seperti Netflix yang terlalu arusperdana. Bahkan karya-karya yang tersuguh oleh BAFTA selalunya jauh lebih berseni, dan benar-benar lahir dari rahim karyawan filem yang mengenal bahasa filem. Ia bukan lahir oleh propaganda dan jualan komersil kilang Hollywood dengan lobi tertentu. Selalu, karya yang disebut-sebut dalam BAFTA adalah karya yang kaya dengan naratif baik, bahasa filem yang melongokan; dan lakonan yang luarbiasa mencengangkan.

BAFTA adalah anugerah yang diusahakan oleh British Academy Film Awards serta dihoskan oleh British Academy of Film and Television Arts untuk produk panggung Inggeris dan internasional. Pada waktu dan ketika BAFTA juga terhegeh-hegeh mengiktiraf Hollywood sehingga kadang-kala filem yang ikut tersenarai akan bertindanan dengan yang diketengahkan oleh Golden Globe Awards (terlalu Amerika), Screen Actors Guild Award (yang juga sangat-sangat Amerika), dan Anugerah OSCAR (yang tidak lain tidak bukan adalah Amerika). Pun, tahun ini nampaknya ada campuran filem-filem dari seberang Atlantik dan filem Inggeris sendiri.

Jika saya berbual dengan karyawan filem muda, saya selalu menganjurkan mereka menonton filem yang disenaraikan untuk anugerah BAFTA. Kerana selalunya bajet mereka kecil, naratif mereka padu padat tidak lewah, lakonan dari sini amat bermutu dan tidak memaksa. Tidak perlu misalnya Lady Gaga terjerit-jerit meneran-neran untuk membuktikan halo saya juga pelakon. Tidak perlu itu sama sekali. Justeru, karyawan kita boleh meminjam formula komanwel yang sama untuk mencipta gelombang panggung yang deras dan menghempas pantai.

Isteri Solehah Dalam After Love 2

Hal ini misalnya terlihat dengan mudah pada filem After Love. Filem arahan Aleem Khan ini membicarakan tentang identiti, tentang lapis cinta yang memperdaya, mengenai kepercayaan yang rumit, juga seputar kesan kematian yang membawa kita kepada bermacam-macam persoalan. Sebagai sebuah drama ia memang ingin memperlihatkan kesan dramatik secara tegas, bahkan bermula dengan satu kematian.

Mary Hussain (lakonan luar biasa Joanna Scanlan) dan suaminya Ahmed (Nasser Memarzia) baru pulang dari sebuah kenduri ketika mendadak Ahmed meninggal dunia. Ternyata mereka adalah pasangan yang bahagia, penuh cinta (memanggil satu sama lain Love), dan setiap kali Ahmed belayar ke Perancis (suaminya adalah pemandu feri dari bandar pelabuhan Dover di United Kingdom ke Calais di Perancis), Mary akan menanti di tebing White Cliffs of Dover setiap jam 4 petang untuk melambai (seperti wanita gila). Mereka pernah punya seorang anak lelaki yang meninggal dunia di usia sangat muda.

Ekoran kematian Ahmed, Maryam yang redha pasrah (jelas pada wajah lakonan Scanlan) berhasrat memulai hidup baru sebagai seorang balu. Mereka berkahwin setelah mendapat pertentangan keluarga. Dan ya, Mary benar-benar meninggalkan identiti Inggerisnya untuk menikahi Ahmed, berbusana ala Pakistani, masak dan makan hidangan Pakistani, berbudaya Pakistani; bahkan bermazhab Hanafi siap dengan cara sembahyang yang identik dengan orang Pakistan.

Akan tetapi Mary yang mengemas barangan arwah suaminya mendapati dia berhubung dengan seorang wanita Perancis secara kerap 21 batu seberang Selat Inggeris di Calais. Penuh dengan tanda tanya, dan dengan hasrat untuk melesang perempuan itu, Genevieve (lakonan Nathalie Richard), Mary tidak menemukan kekuatan. Malah disangka sebagai seorang pekerja khidmat cuci dan kemas. Oleh ketidaksanggupan Mary membuka mulut, salah sangka itu berpanjangan. Mary sedar dia akan mengetahui rahsia sebenar suaminya hanya apabila dia terus menyamarkan sebagai tukang cuci di rumah itu.

Di sinilah Mary berkenal dengan anak Ahmed (iaitu suaminya), Soloman lakonan Talid Ariss. Lebih banyak lapis rahsia terlerai dan sebagai sebuah drama, ia mencapai puncaknya apabila Mary perlu berjujur dan masing-masing saling menerima hakikat kepalsuan dan kebenaran itu tidak memaknakan. Bak kata Genevieve, “We all break the rules we set for ourselves in the end.”

Filem ini mantap pengarahannya di mana kita dengan jelas melihat naratifnya tidak kucar-kacir, lapis budaya dan agama saling bertingkah dengan identiti bangsa dan kepercayaan. Sebagai isteri solehah yang ingin menjaga aib suaminya di hadapan keluarga mertua British-Pakistani yang konservatif (walau mengetahui suaminya adalah penzina), Mary juga pecah menangisi ketidakcukupan dirinya. Isteri gemuk yang tidak lagi menarik, meskipun di hujung Genevieve meyakinkan Mary, dia kekal cinta hati Ahmed sejak berusia 14 tahun yang mana setiap kali melihat bulan, Ahmed akan mengingat Mary.

Untuk pengarahan yang demikian mantap, Aleem Khan cekatan dengan bahasa filem. Watak Mary muncul memantul di hadapan cermin acap kali, menunjukkan kejiwaannya yang rancu dan kacau. Pada satu ketika Mary kelihatan dalam dilema dan tersepit dalam ruang kecil di rumah. Syot-syot ariel mempunyai makna. Pilihan suasana yang ingin disumbat dalam skrin cukup bijaksana.

Malah saya terpesona dengan adegan Mary merendamkan dirinya di Selat Inggeris memandang ke arah United Kingdom dari tanah besar Eropah di Calais sambil membiarkan desah air ombak dingin memukul wajah dan jasadnya. Bahasa filem ini jarang dikuasai karyawan filem kita dan hanya kadang-kala muncul secara tidak sengaja daripada tangan karyawan muda.

Mary atau Fahima nama Islamnya lakonan Joanna Scanlan, terlalu cemerlang yang menurut saya mengingatkan kepada lakonan Brenda Blethyn dalam Secrets & Lies pada tahun 1996 (arahan legenda panggung Inggeris Mike Leigh) yang meraih di Cannes Film Festival, anugerah Palme d’Or. Sebagai watak utama, tidak banyak dialog perlu diucapkan oleh Mary yang banyak bermain dalam. Kesan matanya, hela nafasnya, kecewanya memegang tubuh yang menggelembir, keterlanjurannya membuatkan teh dua cangkir dan terlupa suaminya sudah mati, dan rindu mendalamnya kepada Ahmed meskipun sudah dikhianati, dengan mendengar rakaman suara suaminya berulang kali; amat-amat memberi kita kefahaman kepada pergumulan derita, cinta, dan kekeliruan yang berlapisan. Pada satu ketika, Fahima atau Mary tersangkak dalam sembahyang pada ayat Siratul Mustaqim, dan pada ketika lain meskipun dapat menyudahkan Fatihahnya, ternyata menangis tatkala sujud dan terjelepok tidak dapat melunaskan rakaat.

Lakonan Scanlan ikut dibantu oleh Nathalie Richard, sebagai Genevieve yang terasa kerumitannya, apatah lagi apabila dia terpaksa menelan hakikat bahawa selama ini dia bukan memiliki sebelah jiwa Ahmed yang terbaik, tetapi yang betul-betul mempunyai Ahmed sepenuhnya adalah seorang wanita Inggeris yang tembun dan tampak tidak menarik. Seperti kata Mary, saya memberikan suami saya sesuatu yang gagal diberikan orang lain apabila saya memilih untuk menganut agama Islam.

After Love membuka panggung di Toronto International Film Festival pada tahun 2020, dan kemudian menjalar ke beberapa pesta filem iaitu BFI London Film Festival, Rome Film Festival, dan Tokyo International Film Festival sebelum akhirnya masuk panggung setelah pandemik mereda pada 4 Jun 2021.

Ia sebuah filem yang mesti ditonton oleh karyawan filem muda kita.


Isteri Solehah Dalam After Love 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list