Artikel Terkini

Pilihan Raya Negeri Johor: Permulaan Era Pengundi Muda?

Pilihan Raya Negeri Johor: Permulaan Era Pengundi Muda?
Pilihan Raya Negeri Johor: Permulaan Era Pengundi Muda? 1

Desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah mula kedengaran sejak dari akhir tahun lalu lagi. Ia bermula dengan ugutan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan beliau boleh sahaja pada bila-bila masa “menekan butang” untuk menjadi sebab kepada pembubaran DUN Johor dan akhirnya DUN Johor mendapat perkenan daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk dibubarkan pada 22 Januari 2022 bagi memberikan laluan kepada PRN Johor diadakan. Antara alasan yang diberikan bagi membolehkan PRN ini diadakan ialah untuk mendapatkan kestabilan di dalam dewan. Ini adalah kerana sebelum ini keadaan majoriti Kerajaan dan Pembangkang di negeri Johor berbeza dengan jumlah 1 kerusi sahaja. Walaupun ramai yang mengecam tindakan Menteri Besar Johor mengusulkan pembubaran DUN kepada Sultan Johor, namun kini semua rakyat negeri Johor harus bersedia untuk menghadapi PRN yang tarikhnya akan diumumkan oleh SPR pada minggu hadapan.

Menariknya PRN negeri Johor ini adalah kita bakal melihat permulaan kepada era pengundi berusia seawal 18 tahun pada kali ini. Kita bakal menyaksikan pertambahan pengundi baru sebanyak 750,000 orang yang mana 175,000 orang adalah yang berusia 21 tahun dan 10% daripada pengundi di PRN negeri Johor ini adalah belia. Sudah tentu ia sedikit sebanyak mengubah lanskap politik negeri Johor pada kali ini.

Perlu diingatkan juga PRN Johor kali ini memberikan hayat selama 5 tahun kepada kerajaan baru, bermaksud ia tidak akan turut terbubar ketika Pilihan Raya Umum (PRU) dijalankan nanti apabila sudah tiba tempoh matangnya. Makanya negeri Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak mempunyai tempoh matang DUN yang berbeza dengan PRU. Apabila PRU dijalankan, hanya kerusi-kerusi Parlimen sahaja yang akan dipertandingkan di negeri-negeri ini.

Oleh itu, PRN Johor ini mungkin bakal melakar sejarah tersendiri. Ia mungkin mencerminkan sentimen yang dirasai oleh anak muda pada ketika ini di negeri Johor dan tidak mustahil di seluruh pelusuk negara. Ketidak stabilan politik negara sejak peristiwa Langkah Sheraton sedikit sebanyak telah banyak memberikan kesan kepada kehidupan rakyat, termasuklah kehidupan anak muda. Maka PRN negeri Johor ini mungkin akan menyaksikan kebangkitan undi protes daripada anak muda kepada sesetengah pihak, namun tidak mustahil juga tiada perbezaaan akan berlaku. Pada pandangan saya, sikap dan sentimen anak muda sukar diramalkan. Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai kawasan bandar dan luar bandar yang mana pemikiran setiap anak muda pastinya berbeza. Jadi amat sukar untuk meramal siapakah yang akan menang besar dan siapakah yang akan tutup kedai di negeri Johor.

Akan tetapi, gelombang pengundi baharu ini tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Tiada pihak yang selesa sehingga hari keputusan PRN ini diumumkan – ketika itulah sedikit sebanyak gambaran mengenai sentimen anak muda ini dapat diketahui.

Apakah yang perlu dilakukan oleh parti politik untuk memenangi hati anak muda? Jika kerajaan Barisan Nasional sekali lagi diberikan peluang dan mandat untuk mentadbir negeri Johor, adakah kestabilan politik yang digembar-gemburkan itu akan terjamin? Bagaimana pula dengan pencaturan dari Pakatan Harapan yang belum pun gelanggang dibuka, sudah nampak banyak isu dalaman yang mungkin boleh mencetuskan percakaran di kemudian hari?

Perbezaan logo yang digunakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah sepakat menggunakan logo mereka sendiri dan parti DAP dan AMANAH pula menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) nampak seperti perbalahan yang tidak sudah dan tiada kesepakatan dalam konsesi ini. Adakah dengan menggunakan logo sendiri PKR mampu menawan semua kerusi yang ditandingi? Jika kita lihat rekod PRN yang berlaku pasca Langkah Sheraton, PKR tampak seperti tidak mampu untuk memenangi kerusi yang ditandingi. Namun siapa tahu percaturan ini akan menjadi. Dan jika percaturan ini menjadi, adakah PKR akan mula menimbal balik kerjasama konsesi mereka bersama DAP dan AMANAH di dalam PH?

Parti yang menyebabkan ketidak stabilan politik dalam negara, BERSATU juga mungkin boleh mengekalkan kerusi-kerusi yang mereka menangi. Walaupun sudah ada yang melompat meninggalkan parti ini, namun saya berpendapat saingan sengit mampu diberikan oleh BERSATU.

MUDA juga tidak boleh dipandang sebagai parti kecil. Kelibat presiden mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaikan ikon anak muda yang mampu menarik undi dan memberikan saingan sengit kepada parti-parti yang lama. Begitu juga PEJUANG yang mungkin mampu memberikan saingan dalam PRN kali ini.

Namun yang mana satu yang bakal menarik undi anak muda di Johor? Parti atau konsesi manakah yang dapat memenuhi selera pengundi muda Johor?

Sewaktu di PRN Melaka, parti politik sudah mula kelihatan bersedia membariskan orang muda sebagai calon mereka. Di Johor, mungkin juga pada pandangan saya akan terjadi hal sedemikian. Ini adalah kerana untuk memenangi undi anak muda, calon muda adalah yang sesuai sekali bagi menepati aspirasi dan mempunyai empati kepada anak muda ini. Pasca Covid-19 menunjukkan banyak isu yang berkait dengan anak muda yang memerlukan polisi dan dasar yang jitu bagi membantu anak muda yang terkesan bangkit dari kejatuhan. Tidak lupa juga dasar dan polisi untuk anak muda yang mencari rezeki di seberang tambak Johor yang sememangnya terkesan akibat dari pandemik ini. Jadi bagi saya, mana-mana parti yang bertanding, mereka bukan sahaja perlu meletakkan calon anak muda untuk menarik perhatian pengundi baru ini, bahkan mereka juga perlu merangka manifesto yang mesra anak muda dan mengangkat suara anak muda ke peringkat sidang DUN untuk dijadikan satu polisi dan dasar kerajaan negeri.

Namun adakah anak muda Johor sudah bersedia dengan tanggungjawab ini – tanggungjawab menentukan hala tuju kerajaan negeri. Adakah pendidikan politik di negeri Johor dan juga di negara kita ini amnya sudah cukup memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada anak muda ini bahawa mereka sebenarnya kuasa dan suara mengubah hala tuju politik di negeri Johor dan di negara kita ini. Paling penting sekali, adakah anak muda negeri Johor akan menggunakan hak mereka sebagai pengundi pada PRN kali ini?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada ketika saya menulis artikel ini, masih belum lagi memutuskan bila PRN akan diadakan dan adakah SOP yang diguna pakai di PRN Melaka dan PRN Sarawak akan digunakan pada kali ini. Saya sebenarnya agak kecewa dengan SPR, satu agensi yang menerima peruntukan belanjawan daripada kerajaan Malaysia, namun tidak proaktif untuk menyediakan kemudahan mengundi bagi pengundi luar. Sudah tiga PRN diadakan di dalam keadaan kita berhadapan dengan ancaman pandemik, namun SPR seolah-olah tidak kreatif dan tidak mempunyai keinginan untuk memudahkan proses pengundian bagi pengundi luar yang tidak dapat pulang untuk mengundi. Di PRN Johor ini, sudah tentu ada pengundi luar dari Singapura yang ingin pulang mengundi. Namun bagi saya, SPR boleh memudahkan urusan pembuangan undi bagi mereka ini. Mungkin dengan membuka kaunter mengundi di kawasan sempadan agar pengundi tidak perlu pulang ke Malaysia hanya untuk memangkah kertas undi dan kemudian pulang semula ke negara seberang tambak dan mengharungi pelbagai jenis kerenah birokrasi dan SOP di kedua-dua buah negara. SPR perlu cerdas dan perlu diingatkan semula semua tuntutan pengundi luar perlu dipertimbangkan juga kerana mengundi adalah hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah satu kesalahan jika ada pihak mempunyai niat untuk menghalang seseorang rakyat Malaysia daripada menunaikan tanggungjawab mereka tersebut – apa lagi kini pendaftaran pemilih secara automatik telah dijalankan. Ini bermakna tiada alasan untuk menghalang mereka yang berusia 18 ke atas untuk mengundi.

Persoalan terakhir, adakah dunia politik negara ini bersedia untuk menerima gelombang pengundi muda buat kali pertama ini? Adakah dengan adanya gelombang ini, keadaan kucar-kacir yang berlaku dalam dunia politik negara kita ini akan mula reda dan kita kembali menerima lanskap politik Malaysia yang stabil? Pertanyaan sebegini seolah-olah memberikan beban besar kepada pengundi muda negara kita. Namun kita tidak boleh menafikan anak muda masa kini mereka lebih terbuka mindanya, lebih pintar dari kita sewaktu berada di usia mereka dan lebih lantang bila menyuarakan pandangan mereka. Saya impikan suasana di mana anak muda mula menjadi peneraju negara kita ini dan saya dapat rasakan inilah permulaannya. Ketidakstabilan keadaan politik negara harus ditamatkan segera bagi membolehkan kerajaan berfungsi dengan baik dan efektif, daripada asyik terus berpolitik untuk menakluk kuasa. Kita sudah banyak mundur dan ketinggalan sejak krisis politik melanda negara kita.

Oleh itu, melalui tulisan yang dhaif ini saya ingin menyeru anak muda terutamanya di negeri Johor untuk ambil peluang ini menjadi ejen pengubah lanskap politik negara. Mari kita mulakan operasi ini dari selatan tanah air. Mari kita mulakan revolusi kebangkitan kuasa anak muda ini daripada negeri Johor. Tidak kira siapa yang bakal memenangi pilihan raya kali ini, apa yang saya harapkan ialah partisipasi daripada anak muda sebagai pemilih. Ia perlu bagi menyemarakkan semangat demokrasi di dalam diri anak muda, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan demokrasi dalam negara kita dan peranan rakyat sebagai kuasa yang menentukan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Anak muda tidak boleh berkecuali dalam hal ini kerana apabila mereka melaungkan sentimen berkecuali, maka dasar yang memihak mereka tidak dapat dirangka dengan baik, dan ia jua memberikan ruang kepada korupsi dan kebobrokan sistem terus bermaharajalela.

Selamat maju jaya untuk anak muda di Johor. Semoga anda melakar sejarah dalam dunia politik negara kita ini.


Pilihan Raya Negeri Johor: Permulaan Era Pengundi Muda? 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list