Artikel Terkini

Yi Sun-sin – Laksamana Yang Tidak Pernah Kalah Dalam Peperangan

Yi Sun-sin – Laksamana Yang Tidak Pernah Kalah Dalam Peperangan
Yi Sun-sin - Laksamana Yang Tidak Pernah Kalah Dalam Peperangan 1

Tidak ramai sedar Yi Sun-sin dan Hang Tuah berkongsi beberapa persamaan. Kedua-duanya berstatus laksamana dalam kerajaan masing-masing. Kedua-duanya juga pernah menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu yang cemburu dengan kedudukan mereka tetapi kekal setia terhadap pemerintah mereka. Akhir sekali, kedua-duanya juga tidak pernah tewas dalam pertarungan atau dalam konteks Sun-sin, pertempuran laut.

Potret Yi Sun-sin

Laksamana (Chungmu-Gong dalam Bahasa Korea) Sun-sin dilahirkan di Hanseong (kini Seoul) pada 28 April 1545. Selepas berkahwin pada usia 19 tahun, beliau mula mempelajari pelbagai aspek ketenteraan Korea seperti menunggang kuda, memanah dan permainan pedang – satu perkara yang agak pelik buat anak bangsawan sepertinya.

Ini kerana kerja tentera ini kononnya pekerjaan hina mengikut adat tradisi orang Korea. Atas sebab itulah semasa era Joseon, orang Korea kalau boleh mengelak daripada dipanggil berkhidmat sebagai tentera selama tiga bulan bagi setiap lima tahun. Pengecualian hanya diberi kepada individu yang berusia 60 tahun ke atas. Selain mengelak daripada menjalani kerahan khidmat negara, mereka juga sanggup mengelak daripada membayar cukai tentera.

Selain persepsi masyarakat Korea, tentera Joseon juga dibelenggu masalah rasuah, pecah amanah dan salahguna kuasa yang serius. Hal ini disedari Sun-sin selepas bergelar pegawai tentera. Bukan sekali beliau mengingatkan pegawai-pegawai pemerintahnya bahawa apa yang dilakukan mereka merupakan satu kesalahan dan bisa menjejaskan kerajaan Joseon dalam jangka masa panjang.

Tidak tahan dengan teguran dan kritikan yang dilemparkan Sun-sin, mereka pada mulanya menurunkan pangkat beliau dengan harapan itu akan menyedarkannya agar tidak membuka mulut sembarangan. Tetapi itu tidak berkesan langsung. Lantas, kepimpinan tentera Joseon memindahkannya ke Konwon di perbatasan utara pada 1583 sebagai pemangku komander garison pertahanan di situ.

Kawasan perbatasan ini sentiasa menarik tumpuan tentera Jurchen (kini Manchuria). Dalam hati, mereka berharap kononnya ‘lelaki berintegriti’ ini akan mati katak di situ semasa melawan orang Jurchen. Tetapi itu tidak berlaku. Sebaliknya, Sun-sin menggunakan tipu helah untuk mengumpan mereka keluar dan menewaskan mereka. Disebabkan tipu helah yang sama, pemimpin orang Jurchen ketika itu, Mu Nai Pai berjaya ditangkap oleh pasukan Joseon pimpinan beliau.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Tatkala namanya mula meniti dalam kalangan rakyat dan bangsawan Joseon, Sun-sin dilanda tragedi. Bapanya meninggal dunia pada tahun sama. Mengikut adat Korea ketika itu, orang Korea perlu meninggalkan pekerjaan mereka selama tiga tahun bagi meratapi kehilangan ahli keluarga mereka. Dan itu yang dilakukan oleh Sun-sin untuk tempoh tiga tahun seterusnya.

Selepas kembali berkhidmat pada 1586, beliau meneruskan kembali kempennya terhadap orang Jurchen. Tidak seperti Hang Tuah yang menjadi mangsa dengki sesetengah pembesar Melaka pada tahun-tahun terakhirnya, lain pula halnya dengan Sun-sin. Pencapaian cemerlangnya menjadikan beliau dicemburui oleh pegawai-pegawai pemerintahnya sekaligus mendorong kepada penahanannya atas dakwaan lari dari medan perang.

Trend memfitnah dan memerangkap mana-mana pegawai Joseon bukan perkara baru dalam sejarah kerajaan itu. Ini sebagai cara menjamin kedudukan mereka dan menghapuskan mana-mana pegawai yang menjadi pesaing mereka. Taktik ini hampir-hampir saja menjejaskan kedudukan kerajaan Joseon terutama apabila Perang Imjin tercetus bertahun-tahun kemudian.

Akibat tuduhan tersebut, Sun-sin dipenjarakan dengan semua pangkat dan kedudukannya ditarik balik. Bagaimanapun, pemerintah Joseon ketika itu, Raja Seonjo menunjukkan belas kasihan dengan membebaskan beliau dengan syarat Sun-sin harus berjuang sebagai tentera biasa. Titah baginda dipatuhi beliau dengan penuh rela dan atas sebab itu, Sun-sin diberi pengampunan pada 1588.

Dalam tempoh beberapa bulan pada 1590, beliau mendapat empat jawatan secara berturut-turut oleh kerajaan Joseon. Ini termasuk menggalas tanggungjawab sebagai komander garison di Pyeongan dan laksamana tentera laut mereka di Jeolla. Setelah bergelar laksamana Joseon di Jeolla, beliau mula melaksanakan reformasi dalam tentera laut bagi menjadikan mereka lebih berkesan mendepani cabaran termasuk lanun-lanun Jepun dan China – reformasi yang menguntungkan pihak Joseon semasa Perang Imjin.

Sun-sin sudah masak dengan taktik perang laut Jepun. Jepun tidak memberi penekanan kepada tentera laut berikutan fokus mereka lebih kepada pertempuran di darat. Ini berikutan kebanyakan kapal mereka lebih berperanan sebagai kapal pengangkut. Justeru, ini menyebabkan mereka lebih suka meletakkan pemanah, samurai dan penembak yang dilengkapi dengan senapang lantak di atas kapal untuk pertempuran jarak dekat.

Lantas, Sun-sin melihat dua cara untuk mengakali mereka ialah meriam dan kapal yang lebih panjang. Kapal ini mampu mengatasi kapal-kapal Jepun dari segi kepantasan. Sementara meriam pula merupakan kemuncak kepada usaha penghasilan senjata berasaskan serbuk letupan oleh pihak Joseon yang dimulakan oleh Raja Taejong (1367–1423) sebelum diteruskan oleh Raja Sejong (1397–1450).

Reka bentuk kapal kura-kura. Sumber: PHGCOM/CC BY-SA 3.0

Memang betul terdapat sebuah kapal perisai yang dikatakan dicipta oleh Sun-sin iaitu kapal kura-kura atau Geobukseon. Rekaan kapal sebegini dikatakan sudah wujud sejak 1414 tetapi semasa era Sun-sin, kapal sebegini masih belum wujud. Lebih molek untuk mengatakan Sun-sin menambahbaik rekaan kapal era Raja Sejong itu termasuk menambah bilangan meriam pada kapal berkenaan. Selain itu, bentuk deknya yang berbucu boleh menyebabkan pihak yang menyerang tergelincir ke dalam laut.

Satu lagi inovasi Sun-sin ialah memperkenalkan mesin pembuat asap. Mesin ini boleh menghasilkan asap sulfur dan kalium nitrat dari bahagian dek sekaligus menyukarkan pihak musuh melihat kedudukan tentera Joseon. Pihak musuh yang cuba mendarat dengan penglihatan kabur boleh saja jatuh ke dalam air atau menjadi mangsa tikaman tombak oleh askar-askar yang berada di bawah dek.

Dengan meletakkan kapal kura-kura sebagai punca kemenangan Perang Imjin dilihat menafikan kelicikan Sun-sin sebagai laksamana tentera laut. Beliau menggunakan kelebihan muka bumi dan perairan sekitar Korea sebagai cara mengakali pihak musuh yang kurang arif dengan persekitaran mereka.

Dan seperti bila berdepan orang Jurchen, Sun-sin juga suka mengumpan pihak lawan untuk keluar berlawan di tempat yang dimahukannya. Kelicikan beliau meletakkannya setaraf dengan Sir Francis Drake, laksamana Inggeris yang menjadi duri dalam daging kepada Sepanyol pada abad ke-16.

Tatkala semua ini berlaku, Raja Seonjo memerhati perkembangan di Jepun dengan rasa gelisah. Di sana, keseluruhan Jepun diperintah secara tidak langsung oleh Toyotomi Hideyoshi selepas kejayaan kempen pengepungan Odawara pada 1590.

Toyotomi Hideyoshi

Bagaimanapun, ini mengakibatkan para samurai yang sudah biasa berperang tidak senang duduk. Akibatnya, ada yang cuba melancarkan pemberontakan pada September 1591 tetapi digagalkan oleh daimyo-daimyo yang setia dengan Toyotomi termasuk bakal pengasas Keshogunan Tokugawa, Tokugawa Ieyasu.

Justeru, bagi memuaskan keinginan mereka, Toyotomi meneruskan pelan penaklukan China menerusi Semenanjung Korea yang dirancang sebelum ini oleh tuan lamanya, Oda Nobunaga. Sejak 1587, Raja Seonjo bukan sekali menerima surat daripada figura Jepun itu yang memintanya agar tidak menghalang usaha Jepun menakluk China. Malah, Toyotomi turut mencadangkan pembentukan pakatan Joseon-Jepun bagi menakluk tanah besar China.

Raja Seonjo tahu cadangan pihak Jepun itu bersifat bunuh diri. Ini kerana dengan statusnya sebagai sebuah negara lindungan, mustahil bagi pihak Joseon dapat mengatasi angkatan perang Dinasti Ming yang memerintah China ketika itu.

Malah, tidak mustahil sebagai tindak balas terhadap pakatan tersebut, dinasti tersebut tidak teragak-agak menyingkirkan baginda dan melantik ahli kerabat diraja Joseon lain sebagai pengganti. Atas sebab itu, semua surat Toyotomi termasuk cadangan pembentukan pakatan dipulangkan dengan jawapan ini: tidak, tidak dan tidak!

Selain bagi memuaskan keinginan tenteranya, Toyotomi juga mahu memalukan China yang suka memandang rendah orang Jepun. Bukan satu rahsia wakil Jepun dipandang hina maharaja-maharaja Ming kerana terlalu mengutamakan peperangan dan pertarungan daripada mengejar usaha-usaha yang bersifat perdamaian. Selain itu, tindakan China yang memaksa wakil Jepun menyembah sujud maharaja sebelum perjanjian dagang yang dimeterai dapat dilaksanakan menambah lagi amarah mereka terhadap kerajaan tersebut.

Ini menjadi punca Perang Imjin tercetus dengan angkatan Jepun pertama sampai di Busan pada Mei 1592 diketuai daimyo Konishi Ukinaga yang beragama Kristian. Angkatan seramai 24,000 orang itu disertai 150,000 lagi tentera diketuai daimyo Kato Kiyomasa dengan sebahagian besar daripadanya bersenjatakan senapang lantak – satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh pihak Joseon.

Dalam tempoh tiga minggu, mereka berjaya sampai ke Hanseong dan memusnahkan banyak infrastruktur sepanjang perjalanan. Tempoh tersebut turut menyaksikan ribuan artisan daripada pencetak hingga pembuat tembikar dilarikan ke Jepun bagi menambahbaik industri kraftangan negara itu. Tindakan angkatan perang Jepun itu mirip apa yang dilakukan oleh pihak Acheh selepas menyerang negeri-negeri seperti Pahang, Kedah dan Johor pada abad ke-17.

Berikutan bilangan tentera Joseon yang mati dibunuh oleh samurai-samurai Jepun, ini menyukarkan pihak Jepun mengira jumlah ganjaran yang patut dibayar kepada mereka. Ini memaksa mereka mengubah peraturan dengan mengira jumlah telinga dan bukan kepala seperti sebelumnya bagi menentukan jumlah bayaran. Mengikut rekod, 38,000 telinga dibawa pulang ke Jepun dengan kesemuanya dikebumikan di Mimizuka (Bukit Telinga), Kyoto.

Satu babak perang yang paling dahsyat sepanjang Perang Imjin berlaku di Jinju pada 1593. Kota ini dikepung oleh tentera Jepun selama seminggu sebelum berjaya ditembusi pada 27 Julai 1593. Berang dengan tindakan mereka, pihak Jepun membunuh lebih 20,000 orang sebelum berundur ke Busan. Bagaimanapun, sejarawan Korea percaya bilangan yang terbunuh di Jinju sebenarnya lebih ramai daripada apa yang dilaporkan.

Setelah melatih krew dan melengkapkan armadanya dengan kapal-kapal baru, Sun-sin tiba di perairan sebelah selatan dan menggantikan laksamana di situ, Won Kyun. Bagaimanapun, lelaki tersebut berdendam dengan beliau kerana merasakan Sun-sin mahu merampas kedudukannya itu. Tetapi arahan tetap arahan dan Won Kyun terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan.

Won Kyun.

Tatkala Sun-sin sibuk bertarung di perbatasan, laksamana itu merencana plot yang bukan saja memusnahkan sebahagian besar tentera laut Joseon. Malah, ia hampir saja mengubah hala tuju peperangan memihak kepada musuh mereka, Jepun. Di Hansando (Pulau Hansan) pada Julai 1592, Sun-sin seperti biasa mengumpan pihak musuh mengejar mereka ke laut terbuka sebelum menyerang habis-habisan angkatan laut Jepun dengan meriam.

Kejayaan pihak Joseon di situ ibarat Pertempuran Salamis versi Korea. Ini kerana seperti di Salamis membabitkan pihak Yunani dan Parsi, rantaian bekalan yang diperlukan pihak Jepun untuk kempen mereka di Korea dan China berjaya diputuskan dan memerlukan masa untuk dipulihkan semula. Kejayaan kempen laut Sun-sin memberi semangat kepada tentera di sebelah darat untuk memerangi pihak Jepun habis-habisan.

Hasilnya, pada tahun pertama Perang Imjin, satu pertiga angkatan perang Toyotomi terbunuh. Tetapi ini turut memberi kesan kepada populasi Korea yang terkesan akibat peperangan seperti kebuluran dan kehilangan tempat tinggal. Walaupun tahu sesetengah pelarian ini boleh kembali ke kampung asal mereka, Sun-sin merasakan ada perkara lebih baik boleh dilakukan untuk mereka.

Sebaik diberitahu ada 200 orang pelarian yang menduduki petempatan sementara musim sejuk semasa menghantar bekalan, beliau mula meninjau kawasan tanah bagi mencari tanah sesuai untuk kegiatan pertanian. Setelah menemuinya, 200 pelarian ini diberitahu boleh membina kehidupan baru di tanah yang dinyatakan. Selain itu, Sun-sin turut meminta jasa baik Raja Seonjo agar menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada pelarian yang terjejas. Kemuliaan hati laksamana itu menjadikannya wira dalam kalangan rakyat Korea.

Namun begitu, musuh-musuhnya yang iri hati terus mencari jalan untuk menyingkirkan Sun-sin. Pada 1594, beliau tahu wujud rundingan antara Dinasti Ming dan Joseon bagi menamatkan peperangan yang tercetus. Tetapi Sun-sin tidak percaya Toyotomi akan mematuhi perjanjian tersebut terutama selepas mendengar perilaku buruk mereka sepanjang Perang Imjin. Beliau juga percaya pakatan Dinasti Ming-Joseon untuk menghalau angkatan Jepun keluar dari Semenanjung Korea dilihat tidak memberi manfaat kepada kerajaan itu.

Sikapnya yang jujur dalam memberi pandangan menunjukkan laksamana itu dilihat berlaku derhaka kepada Raja Seonjo. Walaupun beliau kemudiannya berjaya mengalahkan pihak Jepun di Changmun-p’o pada 1594, itu langsung tidak membantu kesnya. Ini ditambah keengganan Sun-sin melaksanakan arahan menyerang angkatan laut Jepun berikutan lokasi yang dinyatakan oleh seorang perisik talam dua muka Jepun itu penuh dengan batu-batu yang mampu merosakkan kapal.

Dengan memberi maklumat sebegitu, Sun-sin tahu perisik tersebut sebenarnya hanya mempergunakan pegawai-pegawai istana untuk memerangkapnya bagi pihak Jepun. Keengganan tersebut sudah cukup untuk dijadikan alasan untuk Sun-sin disingkirkan sebagai laksamana dan diarak ke Hanseong dengan dirinya diletakkan dalam sangkar. Tetapi beliau akur dengan keputusan itu dan terus bertempur sebagai tentera biasa.

Kesempatan itu diambil Jepun dengan memenangi pertempuran di Chilcheollyang pada Ogos 1597. Won Kyun yang tidak masak dengan taktik peperangan Sun-sin terkejut melihat bilangan kapal dan tentera Jepun yang ramai di situ sekaligus menjadikan mereka mangsa mudah angkatan laut negara itu. Lebih memalukan, Won Gyun mengambil keputusan lari dari medan perang sebelum ditangkap dan dipenggal oleh pihak Jepun.

Melihat mereka kini dalam keadaan genting, situasi Sun-sin sama seperti Hang Tuah. Seperti mana beliau diberi kepercayaan semula oleh istana untuk menghentikan amukan sahabatnya Hang Jebat, perkara sama turut berlaku kepada laksamana itu. Sun-sin sekali lagi diberi pengampunan dan diberi amanah untuk mengetuai saki-baki tentera laut Joseon yang masih wujud.

Raja Seonjo sudah berkira-kira untuk membubarkan angkatan laut Joseon dan mengarahkan beliau bergabung dengan angkatan darat. Tetapi Sun-sin melihat di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Dalam suratnya yang diutus kepada baginda, beliau memberi jaminan dengan angkatan Joseon sedia ada, beliau boleh saja mengakali pihak musuh dan mengalahkan mereka.

Dan itu yang direalisasikan Sun-sin di Myeongyng pada 26 Oktober 1597. Beliau sengaja mengumpan pihak Jepun masuk ke Selat Myeongyang atas beberapa sebab. Pertama, ia terlalu sempit untuk pihak musuh berpecah dan cuba menyerang mereka dari sebelah tepi. Kedua, perubahan arus ombaknya yang berlaku selang beberapa jam memendekkan tempoh Jepun menyerang pihak Joseon. Ketiga, kabus yang berlaku pada hari itu mengaburi pandangan mereka – satu kelebihan besar buat pihak Joseon.

Di atas kertas, 330 buah kapal Jepun cukup untuk mengalahkan 13 buah kapal Joseon. Tetapi resepi Sun-sin sekali lagi memerangkap pihak Jepun. Pada hari itu, lebih separuh daripada kapal-kapal Jepun karam diserang meriam dan anak panah pihak Joseon.

Kurushima Michihusa antara yang terbunuh di tangan pihak Joseon di Myeongyang.

Lebih mengejutkan, Sun-sin hanya kehilangan 10 orang krew dengan pihak musuh meratapi kematian 50,000 tentera mereka termasuk salah seorang pemimpin utama kempen, Kurushima Michihusa. Tetapi satu kehilangan diratapi beliau pada hari itu iaitu anak bongsunya, Yi Myon.

Setahun selepas itu, angkatan laut Joseon dan Dinasti Ming bergabung bagi mengusir saki-baki armada laut Jepun keluar dari perairan Korea. Laksamana Ming Chen Leng memberi ruang kepada Sun-sin sebagai ketua armada kedua-dua kerajaan dan memberi kebebasan kepadanya menentukan strategi mendepani 500 kapal perang Toyotomi.

Gambaran Pertempuran Noryang. Sumber: Liang Jieming (1884~1946)/CC BY 1.0

Pada 16 Disember 1598, pihak Jepun sekali lagi terpedaya dengan helah laksamana Joseon itu. Pertempuran di Noryang menyaksikan daripada 500 buah kapal, 200 daripadanya karam dengan 100 lagi ditawan oleh pihak pakatan. Kekalahan ini bukan sekadar menamatkan terus Perang Imjin tetapi turut mempercepatkan kematian Toyotomi pada 15 September 1598. Kekalahan dalam Perang Imjin dan kematian Toyotomi membuka ruang kepada Ieyasu bangkit dan mengasaskan Keshogunan Tokugawa.

Tatkala angkatan perang pakatan Ming-Joseon sibuk mengejar pihak musuh, tiba-tiba salah satu peluru senapang Jepun terkena pada bahagian ketiak Sun-sin. Menyedari ajalnya sudah tiba, beliau meminta perkara tersebut dirahsiakan bagi menjaga moral angkatan laut. Arahan tersebut dilaksanakan secara rahsia oleh anak sulungnya Yi Hoe dan anak saudaranya, Yi Wan. Malah, Yi Wan bertindak menyarung baju perisai bapa saudaranya itu dan terus mengetuk gendang perang bagi memberi semangat kepada angkatan pakatan menghalau Jepun keluar.

Kempen laut Sun-sin menyaksikan beliau tidak kalah dalam semua kempen Perang Imjin. Atas sebab itu, namanya disanjung oleh ramai pegawai tentera laut baik di timur dan di barat. Salah seorang daripadanya ialah Laksamana Togo Heihachiro. Dalam satu majlis meraikan kemenangannya di Tsushima pada 1905, beliau merasa terganggu apabila dibandingkan dengan Laksamana Horatio Nelson dan Sun-sin. Togo tiada isu disamakan dengan Nelson tetapi baginya, tiada siapa yang dapat menandingi Sun-sin.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Nota kaki

Pertempuran Salamis – pertempuran laut Yunani-Parsi yang berlaku pada September 480. Pertempuran ini mengubah haluan Perang Yunani-Parsi dengan Raja Xerxes I terpaksa berundur selepas angkatan lautnya menjadi mangsa mudah tentera Yunani di Salamis.

RUJUKAN

Haynes, M.G. (2022, 17 Jun). THIS ADMIRAL NEVER LOST A SINGLE VESSEL — AND MAY HAVE INVENTED THE ARMORED SHIP. HistoryNet.

Gilbert, M. J. (2007). Admiral Yi Sun–Shin, the Turtle Ships, and Modern Asian History. Education About Asia. Volume 12:1 (Spring 2007): Asia in World History: 1450-1770.

 

 

Yi Sun-sin - Laksamana Yang Tidak Pernah Kalah Dalam Peperangan 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar
syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Back to list